April 4, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Tuhan mendidik

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 1:1-32

Ayat kunci

Roma 1:18-19

18 Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan, 19 kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka.

Ulasan

Seorang ibu sedang masak di dalam dapur. Anaknya yang kecil juga berada di sana memerhatikan apa yang dibuat oleh ibunya. Oleh sebab ibu itu sedang masak dengan menggunakan api, dia memberi amaran kepada anaknya supaya jangan mendekati alat pemasak yang panas. Namun begitu, anak itu tidak mendengar arahan ibunya dan mendekatinya. Ibunya mengulangi amarannya beberapa kali tetapi anaknya tetap degil. Ibunya menyeret anak itu dari alat pemasak yang panas itu dan letakkan anaknya di hujung bilik dapur. Tetapi sedikit demi sedikit anaknya kembali mendekati alat pemasak itu. Jadi, ibunya membiarkan sahaja anaknya mendekati alat pemasak itu sambil memerhatikan dengan teliti. Anaknya menghulurkan tangan dan menyentuh tepi alat pemasak itu dan terus menarik balik tangannya sambil meneriak kesakitan. Ibunya dengan segera muncul dan membantu anaknya. Dia mendekap dan memeluk anaknya yang menangis kesakitan serta meletakkan ubat untuk melegakan kesakitannya.

Adakah ibunya cuai dan salah untuk membiarkan anaknya merasakan kesakitan daripada menyentuh alat pemasak yang panas? Adakah niatnya untuk mengajar anaknya yang kecil itu tentang bahayanya alat yang panas itu boleh diterima? Adakah terdapat cara lain yang lebih baik untuk mengajar anaknya selain membiarkannya belajar daripada pengalaman?

Semua soalan ini adalah soalan sama yang dihadapi Allah tentang manusia yang degil dan ingin menikmati dosa. Tiga kali dalam petikan hari ini, iaitu dalam ayat 24, 26 dan 28, Allah dikatakan membiarkan mereka menurut keinginan hati untuk melakukan pelbagai noda, memenuhi hawa nafsu yang keji dan dikuasai fikiran yang hina. Penerangan ini menggambarkan manusia seakan-akan diheret ke dalam lingkaran dosa yang semakin teruk.

Kesemua ini bermula kerana manusia memberontak terhadap pencipta mereka walaupun Allah telah menyatakan diri kepada mereka. Inilah yang dikatakan dalam ayat 18 dan 19:

18 Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan, 19 kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka.

Bagaimanakah Allah menyatakan diri kepada semua manusia? Dia melakukan ini melalui apa yang dikenal sebagai wahyu umum. Wahyu umum ialah apabila Allah menunjukkan kuasa dan tanda kehadirannya dalam ciptaan-Nya. Melalui dunia yang dicipta ini, Allah menunjukkan diri sebagai Allah yang maha kuasa, yang penuh hikmat, dan yang gemar menghasilkan apa yang indah serta tersusun. Dunia kita yang begitu rumit dan terperinci ini jelas menunjukkan bahawa mesti ada penyebabnya. Jika kita lihat sebuah lukisan yang cantik, sudah tentu kita tahu mesti ada pelukis yang menghasilkannya. Jika kita memandang sebuah bangunan yang tinggi dan besar, sudah tentu kita tahu bahawa ada arkitek yang merekaciptanya. Begitulah juga, jika kita melihat bagaimana dunia ini penuh dengan benda-benda yang dapat berfungsi dengan begitu ajaib sekali, sudah tentu ada penciptanya. Penciptanya tidak lain dan tidak bukan Allah sendiri. Oleh sebab ini, ayat 20 mengatakan dengan ketara:

20 Sejak dunia diciptakan, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan keilahian-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu, mereka tidak dapat berdalih lagi.

Manusia tidak boleh berdalih atau menafikan kewujudan Alah Pencipta segala-galanya apabila mereka memerhatikan ciptaan-Nya. Namun begitu, apa yang sedih sekali ialah manusia tetap mahu memberontak terhadap Allah dan tidak mahu mengakui bahawa Allah ialah pencipta segala-galanya, termasuk diri mereka sendiri. Inilah yang menyebabkan mereka terjerumus ke dalam lingkaran dosa yang mengheret mereka ke dalam dosa yang semakin menjijikan.

Ayat 25 memberitahu bahawa Allah membiarkan mereka melakukan perkara yang semakin lebih tolol. Mereka menyembah apa yang dicipta dan bukan Penciptanya yang patut dipuji. Ayat 27 pula menerangkan akibatnya ialah Allah membiarkan mereka mengikut hawa nafsu untuk melibatkan diri dalam perbuatan homoseksual. Seterusnya dalam ayat 29-31, Allah membiarkan mereka dikuasai oleh dosa dalam semua aspek kehidupan mereka. Mereka dipenuhi “segala kemungkaran dan kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah, 30 pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa, 31 tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan.”

Apa yang paling sedih ialah mereka diselubungi oleh dosa yang begitu mendalam sehingga mereka menjadi pembenci Allah. Inilah dosa yang paling besar. Dengan perbuatan mereka yang jelas sekali melanggar kehendak Allah, mereka menunjukkan bahawa mereka adalah pembenci Allah. Inilah keadaan yang paling rendah yang mungkin bagi manusia yang berdosa.

Saudara-saudari yang dikasihi di dalam Yesus Kristus, janganlah terus terjerumus dalam lingkaran dosa. Jika anda telah menjauhkan diri daripada Allah sekian lama ini, sedarlah bahawa Allah mungkin membiarkan anda mengecapi dosa-dosa yang semakin besar. Tetapi, hentikan pemberontakan anda sekarang juga. Kembalilah kepada Injil Kristus yang merupakan kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman atau yang sedia bersandar kepada Yesus. Langkah anda yang pertama untuk bertaubat daripada sikap memberontak terhadap Allah ini adalah langkah yang paling penting. Tanpa pertaubatan, kita semua tidak mempunyai harapan untuk diselamatkan oleh Allah.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga,kami mengaku bahawa hati kita sering tergoda oleh dosa. Kami telah melakukan apa yang hawa nafsu dan fikiran kami yang hina itu ingini. Tetapi itu adalah jalan yang menuju kepada kebinasaan. Kami insaf akan perbuatan yang tolol ini dan kami ingin bertaubat dariapada pemberontakan kami. Bantulah kami untuk bersandar kepada Allah dan kuasa yang datang daripada mempercayai injil keselamatan Yesus. Kami berdoa ini dalam nama Tuhan Yesus. Amin.”

Lagu Rohani

Genneo -Tuhan Yang Tak Lelah

Share: