Anak Kecil Memerlukan Kasih Ibubapa. Demikianlah Kita Semua
Lagu rohani:
Elvis Ferdinand -Saat Terindah
Pembacaan Alkitab Dramatis:
Roma 5 : 1-21
Ayat kunci:
Roma 5 : 1-2
Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah.
Ulasan:
Pernahkah anda berselisih faham dengan seorang yang anda kasihi? Apabila ini berlaku, kita akan rasa susah hati dan runsing. Hal ini mungkin menyebabkan kita kurang selera dan fikiran kita selalu terganggu. Ini ialah kerana kita sangat ambil berat tentang orang itu dan isu yang meregangkan perhubungan antara kita dengan dia menyakitkan hati kita. Jurang perpisahan dan tembok halangan yang kita rasa antara kita dengan dia akan mendorong kita untuk mencari pendamaian. Sehingga ini berlaku, hati kita akan terus memikul beban yang sangat berat. Tetapi apabila kita merendahkan diri dan mencari pendamaian dengan dia, beban itu akan terlucut dan kita rasa seakan-akan cahaya kembali bersinar dalam kehidupan kita.
Inilah yang Paulus mengisytiharkan tentang perhubungan kita dan Allah selepas empat bab menerangkan bagaimana dosa memisahkan kita daripada Allah. Dalam ayat 1 dan 2, Paulus menulis:
1 Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 2 Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah.
Melalui Yesus Kristus dan pengorbanan-Nya, kita telah diperdamaikan dengan Allah. Perhubungan yang erat dan intim dengan Allah boleh dijalin dan dikecapi. Inilah keistimewaan yang sangat berharga untuk kita orang Kristian. Kita menjadi anak-anak Allah dan perhubungan yang kita alami sekarang adalah mendasari kasih Allah. Selain itu, ayat 5 memberitahu suatu hakikat yang luar biasa sekali: Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. Pemberian Allah yang sangat berharga ialah kasih-Nya yang dicurahkan dalam hati kita.
Kasih mengubahkan semua orang. Selepas Perang Dunia yang kedua, ramai bayi yang kehilangan ibubapa dimasukkan ke dalam sebuah institusi anak yatim. Mereka diberi makan dan dimandikan. Tetapi lama kelamaan sesuatu keadaan yang aneh mula dikenal pasti. Bayi-bayi itu menjadi seperti kurang maya dan lemah, malahan mereka jarang sekali menangis. Bayi-bayi ini seakan-akan hilang nyawa mereka sedikit demi sedikit, hari demi hari. Akhirnya, mereka menemui puncanya. Oleh sebab terlalu ramai bayi untuk dijaga oleh penjaga rumah anak yatim yang sedikit itu, maka mereka tidak ada masa atau tenaga untuk memeluk bayi-bayi itu. Kekurangan pelukan kasih itu yang menyebabkan bayi-bayi itu menjadi tidak bernyawa. Apabila mereka mula dipeluk dan dirasai kasih, barulah mereka mula bertindak balas dan bernyawa.
Itulah kuasa kasih, lebih-lebih lagi kasih Allah yang dicurahkan ke dalam hati kita. Sekiranya kita memandang Allah hanya sebagai hakim yang menghukum kita sahaja, kita tidak mungkin mahu mendekati atau mendampingi Allah. Kita akan takut kepada Allah secara negatif dan cuba mengelakkan-Nya. Dalam keadaan yang sebegini, kita tidak mungkin mempunyai perhubungan kasih dengan Allah. Kita akan terpisah daripada-Nya. Tiada sukacita apabila kita fikir tentang Allah –hanya perasaan takut yang menyelubungi kita.
Tetapi, puji Tuhan, ayat 8 mengatakan bahawa ketika kita masih berdosa, iaitu ketika kita masih terpisah daripada Allah, Dia telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita melalui Kristus yang mati untuk kita. Allah yang mula-mula bergerak untuk mendamaikan perhubungan kita dengan-Nya yang regang kerana dosa dan pemberontakan kita. Kasih Allah yang menarik kita kepada-Nya. Pendamaian yang kita kecapi bersama-sama dengan Allah inilah yang mengubahkan kita dengan radikal.
Apabila kita rasakan kasih Allah dalam hati kita, maka itu akan mengubahkan kita dari dalam ke luar. Hati kita yang keras akan dilembutkan dan kita boleh mula mengasihi orang lain. Ini ialah kerana kasih yang sebenar mesti melimpah keluar dalam bentuk perlakuan yang memberkati orang lain. Ianya tidak boleh disimpan sahaja dalam hati kita sendiri.
Oleh itu, janganlah kita puas hati dengan mengetahui kita sudah diselamatkan. Kita mesti menjalin perhubungan yang lebih erat dengan Allah Bapa yang mengasihi kita. Kita mesti mengenal pasti kasih Allah yang telah dicurahkan ke dalam hati kita melalui Roh Kudus yang telah dikurniakan-Nya kepada kita. Itulah sumber kasih yang tidak terhingga yang boleh ubahkan hati kita supaya kita boleh menjadi orang yang boleh bersukacita dalam apa jua situasi. Ayat 2-4 menerangkan perubahan dalam diri kita yang ajaib ini kerana kasih Allah yang mendamaikan kita:
2 Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah. 3 Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. 4 Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan.
Kita akan melihat kesusahan sebagai sesuatu yang boleh membentukkan ketabahan, budi pekerti dan harapan. Kita menjadi orang yang sangat positif dan yang dapat memberi kasih seperti mana kita menerima kasih daripada Allah. Kita menjadi orang damai kerana kita telah didamaikan.
Doa
Lagu Rohani – Damai BersamaMu
0 Comments on "Anak Kecil Memerlukan Kasih Ibubapa. Demikianlah Kita Semua"