June 3, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Tuhan Di Pihak Kita

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 8:28-39

Ayat kunci

Roma 8:28

28 Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya.

Ulasan

Saya pernah duduk di dalam sebuah roller coaster, iaitu sebuah kenderaan di atas landasan yang bergerak dengan pantas. Ianya naik dan turun serta melalui selok-belok yang tajam sekali. Lebih teruk lagi, roller coaster yang saya duduk itu bergerak di dalam gelap. Maka, kami tidak dapat tengok apa-apa di depan kita. Kita hanya diheret ke kiri dan kanan serta naik dan turun seperti sebuah guni beras yang diikat ke lantai! Kita semua rasa cemas dan berteriak setiap kali kita turun dengan kelajuan yang tidak dapat dijangka dan apabila kita melalui selok-belok yang tajam. Kita rasa seperti mahu mati sudah!

Ada kala kehidupan kita adalah seperti duduk di atas roller coaster. Kita bergerak dengan pantas dalam pekerjaan kita. Kita melalui masa yang genting, cemas dan rasa seperti kita tidak dapat mengawal keadaan. Ada kalanya kita rasa seperti berada di dalam lembah kekelaman! Pada masa yang lain pula, ianya rasa seperti mendaki gunung yang curam.

Pada masa begini, kita patut pegang kepada janji-janji Allah, khususnya dalam petikan hari ini.

Yang pertama ialah ayat 28:

28 Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya.

Janji Allah di sini merangkumi semua hal – yang baik dan yang buruk, yang senang dan yang susah, yang menguntungkan dan yang merugikan – dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan kita yang mengasihi-Nya dan yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya yang terbaik. Dalam kata lain, Allah menguasai segala keadaan yang kita berada. Walau pun kita rasa seperti kita tidak mengawal keadaan itu, kita boleh beriman bahawa Allah yang Mahakuasa tetap menguasainya dengan tenang dan teguh. Maka, kita boleh meletakkan kehidupan kita dalam tangan-Nya yang senantiasa menopang kita.

Pada asasnya, kita boleh memiliki keyakinan yang sebegini kerana janji yang kedua dalam ayat 31:

31 Jadi, apakah yang akan kita katakan sebagai sambutan kepada hal ini? Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita?

Janji ini yang dinyatakan dalam bentuk soalan yang retorik, memberi jaminan bahawa Allah memihak kita. Allah yang mencipta dunia dan segala-galanya, Allah yang tidak pernah lelah dan yang menetapkan segala yang akan berlaku, Allah yang dapat bernubuat dengan tepat apa yang akan berlaku – itulah Allah yang memihak kepada kita, malahan bersedia untuk melawan bagi pihak kita. Dengan Allah yang sebegini di penjuru kita, kita dapat hidup dengan penuh keyakinan. Apa jua cabaran dan rintangan yang kita hadapi sekarang atau pada masa depan, kita boleh pegang kepada janji ini bahawa Allah yang Mahakuasa memihak kita.

Janji yang ketiga adalah pengisytiharaan yang mendasari kedua-dua janji yang telah dinyatakan. Dalam ayat 37-39, janji Allah berbunyi demikan:

37 Tidak! Dalam semua hal ini kita lebih daripada para penakluk melalui Dia yang mengasihi kita. 38 Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para pemerintah, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apa pun, 39 ketinggian mahupun kedalaman, baik apa pun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.

Sekali lagi kita ambil perhatian bahawa janji Allah ini merangkumi “semua hal.” Tidak ada satu keadaan pun yang boleh dikecualikan daripada janji Allah ini. Dalam semua hal, kita lebih daripada penakluk melalui Allah yang menagasihi kita. Oleh kerana Allah bekerja dalam untuk kebaikan kita dan dia memihak kita, akhirnya kita menjadi lebih daripada para penakluk. Kita boleh mengatasi segala-galanya mengikut cara dan masa Allah. Tetapi, syaratnya ialah kita mesti tunduk kepada kehendak Allah, bukan kepada kehendak kita sendiri. Kebaikan dan kemenangan yang kita akan kecapi mesti selari dengan kehendak Allah yang baik, diredai-Nya dan yang sempurna (seperti yang dinyatakan dalam Roma 12:2).

Jadi, saudara-saudari, apa jua keadaan rumit yang anda hadapi hari ini, pegang dan tuntut janji-janji Allah yang istimewa ini. Isytiharkan dalam doa anda bahawa Allah mengerjakan yang terbaik bagi anda kerana dia memihak anda serta anda akan muncul lebih daripada para penakluk. Halleluyah!

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami sungguh bersyukur bahawa Engkau memihak kami dan mengerjakan segalanya untuk kebaikan kami. Maka kami mengisytiharkan dengan penuh keyakinan bahawa dalam segala hal kami lebih daripada para penakluk. Kita percaya bahawa akhirnya Allah yang akan menang dan kami akan berkongsi kemenangan itu. Jadi, hari ini kami meletakkan segala cabaran, kerumitan dan masalah ke dalam tangan Tuhan. Kami berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Tuhan menyertai kami dan pasti akan membantu kami. Kami berdoa segala ini dalam nama Tuhan Yesus, Raja kami. Amin.”

Lagu Rohani

Mujizat Dalam Bersyukur (Album Faith/NDC Worship Live Recording)

Share: