Allah Adalah Penyelesaian Untuk Jalan Buntuh Mu
July 13, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Allah Adalah Penyelesaian Untuk Jalan Buntuh Mu

Pembacaan Alkitab Dramatis:

Roma 10:1-21

Ayat kunci:

Roma10:13

Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”

Ulasan:

Seorang budak kecil begitu gembira apabila dia menerima sebuah model kapal terbang untuk hari jadinya. Namun begitu, model kapal terbang itu perlu dipasang sendiri. Maka, budak itu terus mula memasang model kapal terbang itu dengan sendiri. Bapanya memerhati dari jauh anaknya yang berusaha dengan gigih tanpa menghulurkan bantuannya oleh kerana dia mahu anaknya belajar berdikari. Tetapi arahan untuk memasang model itu terlalu kompleks dan rumit untuk budak itu. Semakin dia berusaha semakin gelisah dia menjadi. Kekecewaannya menjadi sangat ketara dan dia mula menangis. Namun begitu, bapanya tetap tidak campur tangan. Akhirnya budak itu melontarkan bahagian-bahagian model itu dan lari menangis kepada bapanya. Bapanya memeluk anaknya lalu tanya apa masalahnya. Budak itu mengadu kekecewaannya kerana dia tidak dapat memasang model kapal terbang itu lalu menyeru bapanya itu membantunya. Bapanya senyum lalu berkata, “Ya, sayang, sudah tentu. Bapa sudah lama memerhatikan dan menunggu untuk anda minta bantuan saya. Saya tahu anda tidak berupaya melakukannya dengan sendiri. Saya hanya menunggu anda menyeru sahaja.” Dengan itu, dia terus membantu anaknya memasang model kapal terbang itu bersama-sama. Kalau bapa yang di dunia begitu bersedia untuk memberi bantuan kepada anaknya, apatah lagi Bapa kami yang di syurga. Allah Bapa memerhati kita berusaha untuk memperolehi penyelamatan tetapi kami memang tidak berdaya mencapainya kerana hukum adalah terlalu kompleks dan rumit untuk diikuti sepenuhnya. Paulus mengatakan dalam ayat 2 bahawa kaedah ini tidak berasaskan pengetahuan yang benar:

2 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar.

Sememangnya ramai orang bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah kerana mereka ingin menjadi orang yang lebih baik dan benar. Mereka fikir perbenaran boleh diperolehi dengan usaha sendiri. Tetapi sesiapa yang telah berusaha akan sedar bahawa itu adalah jalan yang menuju kepada kekecewaan yang membebankan –sama seperti usaha budak kecil itu. Ini ialah kerana perbenaran yang tulen dan yang datang daripada Allah dan adalah berasaskan iman seperti yang diisytiharkan oleh Paulus dalam ayat 3.

3 Oleh sebab mereka tidak mengetahui perbenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan perbenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada perbenaran Allah.

Kita semua sebagai orang yang berdosa tidak mampu memperolehi perbenaran dengan sendiri. Allah Bapa kami memerhatikan kita semua dari jauh berusaha menegakkan perbenaran kita sendiri tetapi mengalami kegagalan demi kegagalan. Hanya apabila kita sampai ke tahap kekecewaan yang memaksa kita berputus asa serta berpaling kepadanya, baru Dia akan membantu kita. Inilah janji Allah kepada kita dalam ayat 13:

13 Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”

Kita hanya perlu menyeru kepada Allah untuk diselamatkan. Ini ialah kerana segala yang perlu untuk perbenaran kita sudah pun disediakan oleh Tuhan Yesus bagi kita. Ayat 9-10 menjelaskan pembekalan rohani ini:

9 Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan; 10 kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.”

Syaratnya ialah kita mesti merendahkan hati kita untuk berseru kepada Allah. Ini dilakukan dengan mempercayai kematian Yesus bagi pihak kita dan kuasa kebangkitan-Nya yang menewaskan musuh terakhir kita, iaitu maut. Tetapi percaya sahaja tidak mencukupi. Contohnya, jika kita rasa haus dan dengan sungguh-sungguh percaya bahawa dengan meminum segelas air dahaga kita akan dihilangkan, kita tetap akan haus. Apa yang kita perlu buat ialah menaikkan gelas air itu ke mulut kita dan minum. Inilah yang dimaksudkan Paulus dengan mengakui dengan mulut kita apa yang kita percaya dalam hati kita. Kita perlu tunduk kepada ketuhanan Yesus, iaitu menjadikan Yesus sebagai yang terutama dalam hidup kita. Kita hanya perlu menyeru dengan mulut kita dan bersandar kepada Allah untuk memberi kita perbenara-Nya.

Ada orang yang tidak betul-betul percaya tetapi mereka mengakui diri mereka sebagai orang Kristian. Mereka menipu diri sendiri kerana kehidupan mereka tidak dikuasai oleh Allah. Kehidupan mereka terus dibelenggu dosa dan tidak banyak perbezaannya dengan mereka yang bukan Kristian, malahan mungkin lebih teruk lagi. Jika anda dalam golongan ini, kami mendorong anda supaya datang kepada Allah dengan jujur dan jangan berlagak bongkak lagi di hadapan-Nya. Rendahkan hati anda dan menyeru kepada Allah.

Ada pula orang yang betul-betul percaya tetapi mereka belum mengakui ketuhanan Yesus. Mungkin ada sesuatu yang menghalang anda daripada menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat dan Tuhan anda. Mungkin anda sibuk mengejar kekayaan duniawi, mungkin ada benda yang anda belum bersedia untuk melepaskan, mungkin ada perkara dalam hati anda yang menghalang anda untuk datang kepada Allah. Saudara-saudari yang dikasihi, hari ini datanglah dan menyeru kepada Allah untuk diselamatkan dan memperolehi perbenaran-Nya. Matius 6:33 mengatakan:

33 Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya;dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.

Jangan melengahkan pengakuan anda lagi. Allah menunggu anda.

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami percaya bahawa Yesus telah mati untuk dosa kami dan kebangkitan-Nya membuktikan bahawa dosa dan maut telah ditewaskan oleh-Nya dengan muktamad. Hari ini, kami ingin menyeru nama Tuhan Yesus untuk penyelamatan kami dan dikurniai perbenaran Allah. Itulah yang paling berharga bagi kami. Kami berpaling daripada semua kemunafikan dan usaha sendiri yang mengecewakan dan bersandar kepada Allah sahaja. Kami mengucap syukur atas anugerah besar Allah. Dalam nama Tuhan Yesussahaja kami berseru. Amin.”

Lagu Rohani:

Kamasean -Selalu Bersyukur

Share: