Kita Satu Dalam Mesias Yesus
Pembacaan Alkitab Dramatis
Roma 11:1-36
Ayat kunci
Roma 11:20
Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah.
Ulasan
Keangkuhan adalah seperti mulut yang berbau busuk –orang lain tahu akannya kecuali orang itu sendiri! Maka, apabila Paulus mengatakan dalam ayat 20, “Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah,” dia bermaksud kita semua. Sebagai orang Kristian kita mungkin terjerat dalam lubang besar keangkuhan. Sedarilah dan jangan terus bermegah.
Dalam bab ini, Paulus membincangkan sikap keangkuhan orang Kristian bukan Yahudi yang menganggap diri mereka lebih istimewa berbanding dengan orang Yahudi yang belum percaya. Mereka memandang rendah orang Yahudi yang mereka anggap sebagai umat pilihan Allah masa silam yang kini telah ditolak oleh Allah. Mereka fikir sekarang orang Kristian telah menggantikan orang Yahudi sebagai umat pilihan Allah. Oleh sebab itu, mereka rasa angkuh. Dalam pada itu, Paulus mengatakan dengan ketara dalam ayat 17 dan 18:
17 Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu,18 janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu.
Paulus menegur mereka supaya jangan bercakap besar dan bermegah. Sebagai pucuk zaitun liar yang dicantumkan kepada pokok zaitun subur (iaitu orang Yahudi yang takut Allah), mereka patut ingat bahawa mereka masih bergantung kepada akar yang menyokong mereka, cabang-cabang baru itu. Maka, mereka masih bergantung kepada Firman Tuhan yang diperturunkan kepada mereka melalui orang Yahudi. Mereka juga masih sebahagian daripada naratif atau cerita besar Allah yang dituliskan dan dikabulkan untuk orang Yahudi. Mereka bukan cerita yang lain dan baharu tetapi merupakan kesinambungan cerita orang Yahudi dari buku Kejadian hingga ke Injil dan Kisah Para Rasul. Mereka masih menunggu nubuat-nubuat tentang umat Allah diselamatkan secara sempurna seperti yang dijanjikan oleh firman Tuhan. Mereka masih menantikan kedatangan Yesus yang kedua sebagai Mesias orang Yahudi dan seluruh dunia.
Itulah faktanya bagi kita juga sebagai orang Kristian hari ini. Kita adalah cabang-cabang yang dicantumkan dengan orang Yahudi, umat pilihan Allah. Malangnya, apabila kita mengecapi berkat Allah, kita boleh menjadi angkuh dan anggap kita lebih istimewa daripada orang lain yang tidak percaya Allah–sama ada orang Yahudi atau bukan orang Yahudi. Paulus memberi amaran: “Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah,” kerana jika umat Allah, iaitu orang Yahudi boleh dihakimi dan dihukum kerana mereka menjadi angkuh, apatah lagi kita yang bukan Yahudi boleh dihakimi dan dihukum jika kita tidak mengikis sikap keangkuhan dan kemegahan kita.
Bahkan Yakobus 4: 6 mengatakan dengan keras:
6 Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat dalam Kitab Suci:”Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.”
Allah menjadi musuh dan menentang orang yang angkuh, tak kira siapa orang itu – Yahudi atau bukan Yahudi, orang Kristian atau orang bukan Kristian. Tuhan tidak tahan dengan kebusukan hati orang yang angkuh. Jadi, Dia akan menentangnya dengan keras. Oleh sebab itu, baik kita menyemak diri kita sendiri.
Adakah kita memandang rendah terhadap orang lain?
Adakah kita bangga bahawa kita orang Kristian dan mengecam orang lain yang belum percaya?
Adakah kita menyorok berkat Allah dan tidak mahu kongsi berkat Allah dengan orang lain?
Adakah kita asyik mengkritik orang yang bukan Kristian atau pun saudara-saudari seiman kita kerana kita anggap diri sendiri lebih tinggi darjat kita?
Kalau kita mempunyai tanda-tanda ini, marilah kita bertaubat di hadapan Allah. Mari kita minta ampun daripada Allah dan berpaling daripada sikap dan perbuatan yang keji ini. Mari kita menjadi satu di dalam Kristus, menerima satu sama lain sebagai ahli-ahli di dalam keluarga Allah yang besar. Mari kita juga mengasihi orang yang belum mengenal Yesus Kristus, menjadi sahabat kepada mereka, membantu mereka dan berkongsi berita baik dengan mereka.
Dan yang paling penting, mari kita merendahkan diri di hadapan Allah dan bersyukur atas kurnia-Nya yang diberikan secara percuma kepada kita –bukan kerana kita layak tetapi kerana itu adalah anugerah Allahyang sungguh besar. Mari kita memuji Allah dengan ikhlas seperti Paulus yang mengatakan dalam ayat 36:
36 Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia. Bagi Allah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
Doa
Lagu Rohani
Kita Satu – Pdt. Hendro Suryanto
0 Comments on "Kita Satu Dalam Mesias Yesus"