September 13, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Terimalah Orang Lain Seadanya

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 14:1-23

Ayat kunci

Roma 14:17

17 Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus.

Ulasan

Sesuatu yang sangat menyedihkan ialah apabila perkara sampingan yang berkaitan dengan pilihan peribadi boleh merosakkan persaudaraan dan keimanan. Kesatuan dalam gereja boleh diretakkan oleh jenis lagu yang dinyanyikan atau jenis instrumen yang dimainkan, pemimpin yang dilantik, cara wang digunakan oleh gereja, warna permaidani yang dipakai dan lain-lain perkara sampingan. Ini tidak bermaksud perkara-perkara ini adalah remeh tetapi ada perkara-perkara yang jauh lebih penting.

Masalah ini bukan masalah baharu. Paulus sendiri terpaksa menangani masalah yang seakan-akan sama. Dalam petikan hari ini, dia menerangkan dan memberi petunjuk bagaimana kita boleh menyelesaikan tentang pilihan peribadi yang berbeza. Dia menerangkan ini dengan merujuk kepada soal tentang jenis makanan yang dianggap boleh dan tidak boleh ditelan serta hari tertentu yang dianggap lebih penting untuk dirayakan berbanding dengan yang lain. Ada orang yang memilih menjadi vegetarian, iaitu makan sayur-sayuran sahaja dan ada pula yang makan daging juga. Namun begitu mereka menjadikan soal makanan ini menjadi isu agama sehingga pertikaian berlaku dalam gereja.

Perkara yang sama berlaku dengan orang menganggap satu hari tertentu lebih penting daripada yang lain sementara orang lain anggap semua hari sama sahaja dan tiada kelebihan. Contohnya, mungkin ada orang anggap Krismas atau Paskah adalah hari yang harus dirayakan sementara orang lain anggap tidak.

Nasihat Paulus adalah jelas dalam ayat 1:

1 Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan.

Ini bermaksud, terimalah perbezaan yang wujud tanpa menjadikannya isu yang merosakkan kesatuan. Ini ialah kerana perkara-perkara ini bukan perkara yang utama dalam Kerajaan Allah. Ianya tidak akan menentukan soal hidup dan mati dan tidak juga menentukan penyelamatan kita. Dalam kata lain, ada perkara major yang tidak boleh dikompromikan dan ada perkara minor yang boleh ada kelonggaran.

Perkara major adalah hal yang berkaitan dengan penyelamatan. Inilah yang dimaksudkan oleh Paulus dalam ayat 17:

17 Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus.

Soal perbenaran adalah soal tentang penyelamatan yang sudah tentu adalah perkara major dalam keagamaan. Di sini tidak boleh ada perbezaan atau kompromi. Contohnya, kita tidak boleh terima bahawa manusia boleh memperolehi penyelamatan berdasarkan kerja amal kerana ini mencanggahi kepercayaan dasar dan major bahawa penyelamatan hanya wujud di dalam kerja penebusan oleh Yesus Kristus.

Tetapi ini tidak bermaksud orang Kristian tidak patut membuat kerja amal. Kerja amal adalah respon kesyukuran kepada anugerah Allah untuk kita. Tetapi apakah jenis kerja amal yang kita patut lakukan? Ah, itu adalah perkara minor yang boleh ada kelonggaran dan kebebasan untuk membuat pilihan. Contohnya, ada orang fikir adalah penting untuk memberi kepada pelayanan misi sementara ada pula fikir lebih baik memberi kepada organisasi yang membantu orang miskin. Anda bebas untuk membuat keputusan sendiri tetapi keputusan yang dibuat jangan dijadikan hukum muktamad untuk semua orang. Ini adalah hal pilihan dan kesukaan sendiri. Dalam hal begini, kita perlu matang dalam pemikiran dan tindakan kita.

Jika kita boleh bersikap matang dan terima perbezaan yang wujud dalam pilihan peribadi maka kita akan mencapai kesejahteraan dan kegembiraan dalam Roh Kudus kerana wujudnya kesatuan dalam tubuh Kristus. Ini adalah perkara major dalam Kerajaan Allah – kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus seperti yang dikatakan oleh Paulus.

Jadi, saudara-saudari, marilah kita menuju ke arah kematangan dengan mendasari segala yang kita buat dalam kasih seperti yang dikatakan oleh Paulus dalam ayat 15:

15 Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana Kristus telah berkorban nyawa untuk dia juga.

Jika tindakan kita membawa keretakan dalam tubuh Kristus, kita tidak lagi hidup berasaskan kasih. Jadi, apa jua yang kita lakukan kita mesti mengukurnya dengan pembaris “kasih.”

Doa

Mari kita berdoa, “Tuhan, Allah Bapa kami di syurga, kami berdoa untuk kesatuan dalam gereja, tubuh Engkau. Jangan biarkan sebarang perkara atau isu pilihan peribadi menjadi sumber keretakan dalam keluarga-Mu. Kami berdoa untuk diri sendiri, agar kami akan bertumbuh menjadi lebih matang dalam pemikiran dan tindakan kami. Biarlah kami mendasari segala yang kita katakan dan lakukan dalam kasih. Kami berdoa ini dalam nama Tuhan Yesus. Amin.”

Lagu Rohani

Jadikan Kami Satu – Jeffry S Tjandra

Share: