September 26, 2022 Renungan, Roma 0 Comments

Hargai Teman Anda

Pembacaan Alkitab Dramatis

Roma 16:1-27

Ayat kunci

Roma 16:16

16 Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci.

Ulasan

Hari ini, mari kita mengenal pasti dan mengenang teman-teman seperjuangan dan seperjalanan yang Allah telah karuniakan kepada kita. Teman-teman ini adalah amat penting dan Paulus dalam suratnya kepada jemaah di Roma mengambil masa dan usaha untuk menyampaikan salam kasih yang peribadi kepada mereka. Besar kemungkinan anda juga memiliki teman-teman yang begitu dekat dengan hati anda. Ciri-ciri mereka yang unik telah memberkati anda dan anda menghargai mereka sebagaimana Paulus memberi deskripsi tentang teman-temannya di Roma. Inilah ciri-ciri yang Paulus kaitkan dengan individu tertentu. Mungkin nama mereka tidak bermakna kepada anda sebab anda tidak mengenal mereka. Tetapi hari ini apabila ciri-ciri ini dibacakan, biarlah Tuhan mengingatkan anda tentang teman-teman khas anda dan syukur dan terima kasih dipanjatkan kepada Allah untuk mereka:

…seorang yang mengabdikan diri kepada jemaah

…telah bergadai nyawa untukku.

…bukan aku sahaja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah daripada bangsa-bangsa lain.

…jemaah yang berhimpun di rumah mereka.

…saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada Kristus melalui saya

…yang telah bertungkus-lumus untukku dan orang lain

…saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku di dalam penjara.

…mereka ialah orang terkemuka di antara para pemimpin, dan yang telah menerima Kristus sebelumku.

…yang kukasihi dalam Tuhan.

…rakan seperjuangan kamu dalam Kristus

…yang diperkenan dalam Kristus.

…dan seisi rumahnya.

…sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan.

…yang telah berpenat lelah dalam Tuhan.

…yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan.

…hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku.

…dan saudara-saudara yang bersama mereka.

…serta semua orang salih yang bersama mereka.

Semasa senarai itu dibaca tadi, mungkin anda teringat seseorang atau beberapa orang yang mempunyai makna dan erti yang sama dalam hidup anda seperti Paulus. Apa kata anda mengambil masa dan kesempatan ini untuk memberitahu mereka bagaimana anda menghargai mereka dalam kehidupan anda. Anda boleh menulis satu surat atau nota untuk mereka. Atau pun anda boleh SMS, WhatsApp atau emel mereka. Mungkin kalau anda sempat jemput mereka untuk makan bersama, anda boleh memberitahu mereka secara peribadi penghargaan anda dan mengucapkan terima kasih.

Bersyukur adalah sikap yang sangat membina bukan hanya untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri yang lakukannya. Hati kita dimurnikan, dihiburkan dan digalakkan apabila kita melakukan ini. Akhir sekali, mari kita bersyukur kepada Allah yang begitu mengasihi kita dan telah memberkati kehidupan kita. Kita guna pakai kesyukuran dan pujian yang Paulus akhiri suratnya kepada jemaah di Roma:

Doa

Mari kita berdoa, “ 25 Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut Injil yang ku sampaikan dan perkhabaran tentang Yesus Kristus, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia 26 tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam kitab suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman; 27 kepada Allah sahaja, yang penuh bijaksana, segala kemuliaan melalui Yesus Kristus selama-lamanya. Amin.”

Lagu Rohani

Persahabatan(friendship) with lyric by Edward Chen

Share: