October 7, 2022 Renungan, Yakobus 0 Comments

Mengapa Ada Cubaan?

Pembacaan Alkitab Dramatis

Yakobus 1:1-27

Ayat kunci

Yakobus 1:2 Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan.

Ulasan

Di sebalik senyuman, terselit seribu kedukaan. Inilah keadaan hidup ramai orang termasuk seorang ibu muda dalam menjaga anak tunggalnya yang sakit sejak beberapa tahun lalu, biarpun diri sendiri turut menghidap kanser payudara tahap empat. Anaknya disahkanmengalami ketumbuhan dalam buah pinggang dan telah menjalani pembedahan. Ketika menerima rawatan susulan, doktor kemudian mengesahkan anaknya turut mengalami masalah hormon. Dalam kepayahan menjaga anaknya yang sakit, ibu ini disahkan menghidap kanser payudara tahap empat. Tambah lagi, dia bersama suami dan anaknya kini tinggal bersama mentua. Suami dia pula hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan tak seberapa.

Apakah respon kita apabila dugaan-dugaan seperti ini terjadi kepada orang lain dan juga kepada kita? Dalam surat yang ditulis oleh Yakobus, dia telah menunjukkan satu amalan yang boleh membantu kita, iaitu mengubah anggapan kita akan dugaan-dugaan ini yang dia panggil cubaan. Dalam Alkitab cubaan ialah perkataan yang dipakai untuk mewakili pelbagai dugaan yang dibenarkan Allah untuk manusia alami dengan tujuan membangun iman dan menyatakan kuasa-Nya. Oleh itu, perspektif kita terhadap cubaan mestilah betul supaya kita dapat mengharunginya dengan berjaya.

Tanggapan betul apabila mengalami cubaan ialah bahawa ia satu kebahagiaan, sesuatu yang berpotensi mempertingkatkan kebahagiaan dalam hidup anda. Bagaimanakah mungkin? Kata Yakobus cubaan menguji iman kita dan hasil ujian ini ialah ketabahan. Ketabahan ini jika dimiliki dan semakin bertambah akan akhirnya membantu kita menjadi sempurna dan tidak kekurangan apa-apa pun! Bukan itu sahaja, Yakobus dalam ayat 12 berkata jika kita tabah menghadapi cubaan dan berjaya menangani setiap cubaan yang menimpa, kita akan menerima mahkota kehidupan pada hari penghakiman daripada Yesus.

Bagi mereka yang tidak tahu bagaimana untuk lulus ujian iman ini dan tidak tahu bagaimana menangani setiap cubaan dengan sebaik-baiknya, Yakobus mengesyorkan supaya mereka berdoa kepada Allah, meminta dia untuk memberi kebijaksanaan syurgawi yang boleh membantu mereka berjaya. Ujian iman ini bukan hanya diberi Allah tetapi dia juga membekalkan kebijaksanaan yang diperlukan untuk lulus. Puji Tuhan, dia amat baik sekali. Walaupun begitu ada amaran terselit bersama petunjuk ini –apabila kebijaksanaan diminta, peminta mesti minta dengan penuh iman. Dia tidak boleh ragu-ragu, seperti ombak yang naik turun, tetapi yakin Allah akan mengurniakan kebijaksanaan kepadanya. Jika tidak, akibatnya jelas. Peminta tidak akan menerima. Kebijaksanaan syurgawi tidak akan dimiliki.

Satu lagi salah anggap yang mesti disisih ialah bahawa cubaan ialah godaan daripada Tuhan. Cubaan bukan godaan kerana godaan ialah manifestasi nafsu jahat yang bersemadi dalam setiap manusia dan menyemarakkan perbuatan dosa. Jelas sekali sumber dan tujuan godaan berbeza sekali dengan cubaan. Oleh itu apabila dugaan berlaku, kenal pasti pelakunya dan tujuannya. Jangan pula Allah dituduh mengirim godaan kerana seperti kata Yakobus, “Allah tidak menggoda”.Jika anda digoda, sedar anda ada pilihan –mahu turut kata-kata dari nafsu anda atau taat perintah Allah. Kata Yakobus, jika anda turut desakan nafsu anda, anda akan melakukan dosa. Jangan terpedaya. Jangan salah tuduh.

Satu reaksi biasa apabila cubaan melanda ialah menjadi marah. Marah kerana dianiaya. Marah kerana tidak cukup wang. Marah kerana usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh tidak menjadi. Menyedari ini, Yakobus dalam ayat 20 berkata:

Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah.

Oleh itu dia memberi tiga petunjuk yang penting dan mesti diamalkan apa lagi semasa dicubai jika mahu berjaya. Yakobus berkata kita mesti “cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah.” Semasa mengalami cubaan, peka kepada suara Tuhan, apa lagi yang bergema melalui kata-kata-Nya dalam Alkitab. Juga peka kepada nasihat dan petunjuk daripada orang yang mahu membantu. Selain itu, lambat bercakap. Senang sekali untuk mengumpat dan bersungut apabila dugaan demi dugaan melanda. Saya sering mendapati diri saya bersuara negatif apabila masalah datang tetapi ini hanya mengeruhkan situasi. Akhirnya, jika kita tidak kawal kata-kata kita, dengan cepat emosi marah boleh menyemarak. Itulah sebabnya Yakobus menyeru supaya kita lambat marah. Ingat, dia tidak berkata jangan marah tetapi jadikan marah respons terakhir bukannya emosi pertama apabila cubaan datang melawat.

Pengawalan emosi dan kata-kata penting ketika melalui cubaan dan satu cara untuk memastikan ini berlaku dengan baik ialah dengan sengaja melakukan Firman Tuhan. Itulah sebabnya Yakobus juga mengingatkan pembacanya, dan kita juga, supaya jangan hanya tahu Firman Tuhan tetapi melakukannya. Mungkin anda sudah tahu tidak baiknya cepat marah dan cepat mengumpat tetapi soalannya ialah sudahkah pengetahuan ini mengubah tindakan anda? Tidak cukup berkata, “Ya, saya tahu”sahaja; lebih penting jika jawapan anda ialah, “Saya sedang melakukannya”.

Jadi, bila dugaan seterusnya melanda, ubah tanggapan kamu tentang masalah yang sedang dihadapi. Beri perhatian kepada apa yang anda katakan pada masa itu dan lambatkan diri memeluk emosi marah. Akhir kata, minta kebijaksanaan daripada Allah untuk menangani cubaan yang dihadapi.

Doa

Mari kita berdoa, “Bapa kami yang di syurga, terima kasih kerana setiap cubaan menguji iman kami, menghasilkan ketabahan yang akhirnya akan membantu kami menjadi sempurna dan tiada kekurangan apa-apa. Bapa, berikanlah kami kebijaksanaan dari syurga supaya kami tahu apa yang baik dan betul dilakukan semasa menghadapi cubaan.Juga, bantulah kami supaya peka kepada suara-Mu dan nasihat orang lain serta menjaga kata-kata kami ketika mengharungi setiap dugaan hidup. Tolonglah kami menguasai emosi marah dalam situasi-situasi yang susah supaya kami dapat melakukan apa yang diredai-Mu. Dalam nama Yesus kami berdoa, Amin.”

Lagu Rohani

Mike Mohede -Kemenanganku (Lyrics)

Share: