Jangan Pilih Kasih
Pembacaan Alkitab Dramatis
Yakobus 2:1-26
Ayat kunci
Yakobus 2:1 Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih.
Ulasan
Adakah anda menganggap orang miskin di sekeliling anda malas, tidak berguna atau tidak layak diberi hormat seperti mana anda berikan kepada mereka yang terpelajar, mempunyai pendapatan besar dan hidup mewah? Orang miskin secara praktikalnya tidak ada jalan keluar daripada kemiskinan mereka. Kesengsaraan mereka boleh dilihat dalam bentuk kekecewaan, rasa bersalah dan kebimbangan. Mereka rasa kecewa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan diterima sebagai golongan orang-orang yang harus dihormati. Apa yang mereka inginkan hanyalah harga diri, tapi inilah yang dinafikan mereka.
Yakobus ada teguran keras bagaimana kita sebagai orang Kristian harus layan orang miskin. Dalam ayat 1 dia berkata, “Janganlah amalkan sikap pilih kasih.” Bagi yang tidak faham seruan dia, Yakobus kemudiannya melukis satu senario biasa di banyak majlis kenduri, perkahwinan atau upacara keagamaan di mana mereka yang kaya dilayan dengan baik dan yang miskin disisihkan dan dilayan seperti sampah. Saya yakin anda dapat membayangkan senario itu kerana anda yang pernah melakukannya atau menerima layanan seperti itu. Kesimpulan Yakobus akan kejadian ini menusuk hati, apabila dia menulis dalam ayat 4, “Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.”
Renungkan sejenak kata-kata Yakobus itu. Apabila kita memilih kasih, kita berfungsi sebagai hakim dan ketika kita memilih yang kaya dan berjaya untuk menerima layanan baik kita, kita sudah menghakimi. Bukan itu sahaja, penghakiman kita dikatakan ialah hasil fikiran yang jahat. Saya yakin ramai yang memilih kasih tidak sedar mereka membuat pilihan berdasarkan fikiran yang bukan hanya salah tetapi jahat. Jangan pilih kasih. Jangan hanya layan dengan baik mereka yang berada dan berjaya dalam hidup. Jangan.
Jika anda tergerak untuk memandang rendah orang miskin, Yakobus mengingatkan kita bahawa Allah memilih orang miskin sebagai pewaris kerajaan Allah yang penuh iman. Allah melihat potensi mereka dan kedudukan mereka dalam kerajaan-Nya. Selepas ini setiap kali anda melihat orang miskin, ingat siapa mereka dalam mata Tuhan dan kasih mereka untuk Allah. Sebaliknya orang kaya yang dihormati banyak kali ialah mereka yang menindas kita, menyeret kita ke mahkamah, dan menghina nama mulia yang kita terima daripada Tuhan. Yakobus hairan mengapa orang seperti ini diberi layanan istimewa dan dihargai. Mangsa memuliakan penganiayanya. Pelik.
Oleh itu apakah seharusnya respon orang Kristian? Pertama, kita mesti mengasihi semua orang seperti mana kita mengasihi diri kita. Bukankah ini perintah Yesus yang agung kepada murid-murid-Nya dan juga kepada kita hari ini? Bagi yang lupa inilah perintah Yesus:
Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri (Yohanes 13:34)
Amalan memilih kasih bercanggah dengan perintah ini dan tidak mesti diamalkan setitik pun jika kita serius mentaati perintah Yesus ini. Jika kita gagal melakukannya, kita telah berdosa. Dengarlah kesimpulan Yakobus tentang hal ini dalam ayat 9: Sebaliknya, jika kamu memilih kasih, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. Bukan hanya kita berdosa tetapi kita juga telah gagal menunjukkan belas kasihan. Mengapakah ini tidak baik? Kerana “orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan” pada hari penghakiman kelak. Jadi amalan memilih kasih dan memberi layanan istimewa hanya kepada orang yang kita anggap kaya ialah amalan jahat yang tidak mesti dilakukan. Tidak kira bila dan di mana.
Kita mesti ingat bahawa apabila amalan pilih kasih menjadi perbuatan biasa kita, kita sudah hilang sifat belas kasihan. Keupayaan menunjukkan belas kasihan ialah satu tanda jelas anda mempunyai iman benar dalam Tuhan. Setiap orang yang sudah mengalami belas kasihan Tuhan akan berupaya menunjukkan belas kasihan yang sama kepada manusia lain. Sesiapa sahaja yang diampuni banyak, mengasihi banyak kata Yesus apabila Dia menjelaskan mengapa seorang wanita yang mempunyai latar belakang dosa yang buruk mengelap kaki-Nya dengan rambut dia. Itulah sebabnya Yakobus menekankan idea bahawa jika iman yang kononnya kita ada dalam Tuhan tidak nampak melalui perbuatan bersifat belas kasihan, iman kita itu iman yang tidak dapat menyelamatkan.
Seterusnya, Yakobus memberi satu panduan praktikal bagaimana kita boleh mengikis amalan pilih kasih yang tidak berbelas kasihan. Kita mesti aktif melakukan aktiviti-aktiviti yang membuktikan kita mengasihi semua orang tidak kira miskin atau kaya. Tidak cukup hanya menyatakan kita berasa kasihan atau akan berdoa supaya Tuhan mencukupi. Kita sebagai kaki dan tangan Allah yang sudah mengalami belas kasihan Tuhan, mesti bertindak memberi atau melakukan apa yang perlu supaya yang memerlukannya tahu anda dan Allah mengasihi mereka. Apakah yang anda boleh lakukan hari ini untuk mereka yang dalam kekurangan di sekeliling anda hari ini? Lakukannya!
Ingat, iman tanpa perbuatan, iman yang mati. Sebagai orang yang beriman kepada Allah yang benar dan hidup, janganlah pilih kasih kerana itu bermaksud anda tidak ada belas kasihan dan telah melanggar perintah Yesus untuk mengasihi semua orang. Sebaliknya marilah kita tunjukkan belas secara praktikal dan dengan secara tidak langsung membuktikan kita memiliki iman benar yang menyelamatkan. Semoga usaha saya dan anda ini mampu membantu menghentikan kitaran kemiskinan yang bergenerasi dan memberi semula kehidupan berkualiti kepada mereka yang kekurangan.
Doa
Lagu Rohani
Kasih – Nikita
0 Comments on "Jangan Pilih Kasih"