October 28, 2022 Renungan, Yakobus 0 Comments

Jaga Lidah Mu

Pembacaan Alkitab Dramatis

Yakobus 3:1-18

Ayat kunci

Yakobus 3:2

Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya.

Ulasan

Kerana lidah badan binasa. Kata-kata hikmat dan amaran ini sudah pasti didengar sejak kecil tetapi ramai sekali yang gagal mengawal lidah mereka lalu mengalami kebinasaan. Contohnya seorang menteri di Jepun yang mengeluarkan kenyataan bahawa “nasib baik” gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac 2001 melanda timur laut Jepun dan bukannya Tokyo. Kata-kata ini yang terlepas dari mulutnya telah menimbulkan masalah dan menyakiti hati rakyat di timur laut Jepun. Dia akhirnya terpaksa mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Jepun.

Satu bidang kerjaya yang perlu menggunakan banyak perkataan dan kerana itu mempunyai risiko tinggi menghasilkan kata-kata yang salah, jahat dan menyesatkan ialah pekerjaan sebagai guru. Tidak hairanlah Yakobus memberi amaran kepada mereka yang mahu menjadi guru dengan mengingatkan mereka bahawa mereka akan diadili dengan lebih keras kerana kata-kata mereka mempunyai pengaruh yang besar atas pendengar mereka, baik untuk yang jahat mahupun untuk yang baik. Jika anda bercita-cita menjadi seorang guru, ingatlah amaran ini dan berusaha mengatur tutur kata anda mulai sekarang. Namun begitu, bukan hanya guru-guru sahaja yang perlu berjaga-jaga dengan kata-kata mereka. Kita yang setiap hari bercakap dengan pelbagai jenis orang dan dalam pelbagai konteks, perlu juga berwaspada.

Kesimpulan Yakobus tentang hal ini mudah sahaja –kalau tidak silap tutur, sempurnalah orang itu. Banyak kesalahan berlaku apabila perkataan yang salah terlepas dari mulut. Oleh itu adalah baiknya kita berhenti dan berfikir sebelum bercakap atau menjawab soalan. Apabila seorang selebriti ditanya tentang perhubungannya dengan seorang kerabat diraja dia akui takut untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh disalah ertikan. Dia berkata dia tidak perlu membuat komen yang melibatkan orang sebegitu. Dia takut salah cakap. Ini sememangnya satu amalan yang bijak.

Walaupun begitu,Yakobus berpendapat adalah mustahil untuk menjinakkan lidah kita dengan kekuatan kita sendiri. Dalam ayat 8 dia menulis: Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh. Kegagalan inilah yang menyebabkan pelbagai masalah tercetus dalam dunia ini sejak manusia mula pandai bertutur. Mengapakah pertuturan kita begitu berkuasa?

Bagi Yakobus, lidah kita ibarat api. Kata-kata yang kita pakai boleh mencetuskan kebakaran besar-besaran yang mampu menghanguskan reputasi, impian dan masa depan orang lain mahupun untuk diri kita sendiri. Setiap tahun, pada musim kemarau di Sabah dan Sarawak akan ada kes-kes hutan terbakar yang besar dan sukar dipadamkan. Puncanya selalu daripada sumber api yang kecil yang tidak dipadamkan. Lidah yang dikuasai kejahatan hanya dapat mengeluarkan kata-kata jahat, kata-kata yang mengisi minda kita dan pendengar kita. Apabila ini berlaku, hidup kita hangus. Pernahkah hidup anda “hangus”kerana kata-kata orang atau pernahkah hidup orang hangus kerana kata-kata anda?

Kata-kata kita mempunyai kuasa yang besar kerana ia dapat mengawal tubuh kita, menentukan apa yang kita lakukan dan di mana kita pergi. Apabila anda berkata, “Saya tidak mahu pergi”, badan anda tidak akan bergerak dan anda akan menolak apa-apa usaha menggerakkannya. Sebaliknya, jika anda berkata, “Saya mahu pergi sekarang”, badan anda akan bersedia bergerak dan anda akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk sampai ke destinasi yang diingini. Sesungguhnya lidah kita seperti kekang di mulut kuda, yang mengendalikan seluruh tubuh kuda itu. Pakailah kata-kata anda untuk mengendalikan tubuh anda sebaik-baiknya.

Kata-kata kita juga mempunyai kuasa kerana ia berupaya menentukan hala tuju kita sama seperti kemudi yang kecil mengendalikan kapal yang besar dalam keadaan laut yang bergelora. Ramai orang di Sabah dan Sarawak perlu menggunakan sampan untuk pergi ke tempat-tempat tertentu. Arah tuju sampan itu ditentukan oleh kemudi kecil di belakang sampan yang dipusing ke kanan atau kiri oleh pengemudinya. Kita ialah pengemudi lidah kita dan jika kata-kata kita diatur dengan baik, kita akan berupaya sampai ke tempat-tempat yang baik dan membawa banyak berkat, terselamat daripada ombak besar dan batu-batu berbahaya. Tetapi rahsianya ialah kita mesti pandai mengemudi lidah kita.

Menurut Yesus, punca kata-kata yang jahat adalah daripada hati yang jahat. Dalam Lukas 6:45, tertulis kata-kata Yesus ini:

Orang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya.

Sebagai orang percaya, kita sudah diselamatkan dan transformasi sedang berlaku. Perubahan ini juga merangkumi hati kita. Bagaimanakah dengan pertuturan anda? Apakah kata-kata yang anda sering pakai dan pilih mendedahkan sebuah hati yang sudah disucikan dan berisi kebaikan Allah atau masih ada sisa-sisa kejahatan yang memerlukan perhatian Tuhan? Perbenaran yang Allah hasilkan juga menyentuh penyucian hati anda. Jika pertuturan anda memberi amaran bahawa hati anda penuh kejahatan, bawalah hati anda kepada Penyelamat kita untuk dibersihkan dan diisi dengan kebaikan syurgawi.

Doa

Mari kita berdoa, “Bapa kami yang luar biasa, termulialah nama-Mu. Kami bersyukur bahawa dengan lidah ini kami dapat memuliakan-Mu. Kami sedar ada masanya kami menggunakan lidah yang sama untuk mengutuk orang lain yang diciptakan dalam wajah-Mu. Ampunilah kami. Sucikan hati kami dan singkirkan apa-apa kejahatan yang mencemarkan kata-kata kami. Sebaliknya, kami memohon supaya Engkau membantu kami mengemudi lidah kami dengan baik supaya kami berjaya mencapai masa depan yang cemerlang dan bantu kami mengekang lidah kami supaya seluruh tubuh badan kami dikawal dengan bijak dan betul. Semoga pertuturan kami selalu memuliakan nama-Mu dan membangun pendengar-pendengar kami. Dalam nama Yesus kami berdoa, Amin.”

Lagu Rohani

Regina Pangkerego – Bahasa Cinta

Share: