Apakah Punca Pergaduhan Dan Pertengkaran?
Pembacaan Alkitab Dramatis
Yakobus 4: 1-17
Ayat kunci
Yakobus 4:1 Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran dalam kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu.
Ulasan
Pernah anda terlibat dalam suatu peristiwa pergaduhan atau pertengkaran? Suatu ketika dahulu, ketika saya sedang menunggu kawan mengambil saya di sebuah lapangan terbang saya terlihat seorang pemandu teksi bergaduh di hadapan pelancong. Dia sedang bergaduh dengan seorang pemandu teksi yang lain gara-gara berebut untuk mendapatkan penumpang yang tiba di negeri itu. Bukan hanya bertengkar malahan bertumbuk di depan pelancong. Sesudah itu ditarik pelancong suruh masuk teksi. Ada yang mungkin berkata pertengkaran ini berpunca dengan sifat tamak pemandu atau salah faham antara pemandu-pemandu teksi yang beroperasi di sana. Lain pula jawapan Yakobus. Dia berpendapat punca semua pertengkaran ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam diri manusia.
Keinginan untuk memiliki ialah satu keinginan dasar manusia yang sangat kuat sehingga mendorong manusia untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang diingini. Terlalu banyak kisah sedih di mana perbuatan-perbuatan keji sanggup dilakukan demi mendapatkan apa yang diingini. Ramai orang tidak sedar bahawa keinginan untuk mendapatkan dan memiliki sesuatu sering kali ialah hasil pengaruh hawa nafsu yang tidak akur kepada Allah dan prinsip-prinsip hidup-Nya. Jika anda mengingini sesuatu dan sanggup melakukan yang salah, jahat dan bersifat jenayah untuk memilikinya, anda jelas sudah dikuasai oleh hawa nafsu.
Yakobus menyarankan cara lain untuk mendapatkan apa yang diingini –memohonnya daripada Allah! Sebagai orang Kristian, tidak salah kita ingin memiliki sesuatu tetapi ia tidak harus diperolehi dengan cara-cara yang kasar atau yang boleh melukakan orang lain. Berlutut meminta daripada Tuhan apa yang diingini ialah cara orang Kristian. Tetapi saya pasti reaksi anda ketika ini mungkin sekali berbunyi seperti ini, “Tetapi saya sudah mohon dan Tuhan tidak memberikannya kepada saya.” Mengapa pula?
“Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri.”
Itulah jawapan Yakobus dalam ayat 3 bagi rungutan anda. Sesungguhnya keinginan yang dilahirkan oleh hawa nafsu hanya mementingkan keuntungan peribadi. Sifat mementingkan kesenangan diri sendiri sahaja tidak direstui Allah dan apa-apa permohonan yang tamak begini tidak akan dilayani Tuhan. Apa yang anda ingin miliki hari ini dan sudah dipohon daripada Tuhan? Adakah ia untuk kesenangan peribadi anda sahaja?
Selain itu, Tuhan mungkin tidak menjawab permohonan jika orang yang meminta itu tidak setia kepada Tuhan dan bermain kayu tiga dengan dunia. Tidak mungkin Allah memberi kepada musuh-musuh-Nya kerana sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah. Adakah permohonan anda tidak terjawab? Jika ya, periksalah perhubungan anda dengan Allah. Adakah anda setia kepada Dia sahaja? Atau adakah anda sudah mula berjinak dengan dunia dan hati anda sudah berbelah bahagi? Dalam mana-mana perhubungan kasih, sememangnya mustahil seseorang kekasih memberi apa yang diminta oleh temannya jika temannya tidak setia kepada dia dan mempunyai kekasih lain. Lebih-lebih lagi kalau temannya memusuhinya. Adakah anda kekasih setia Tuhan?
Jadi apakah yang harus dilakukan jika anda dalam situasi seperti ini? Pertama,rendahkanlah hatimu di hadapan Tuhan kerana Dia memiliki kasih kurnia yang besar.Dia senang memberi kepada mereka yang merendahkan diri di hadapan-Nya. Pilih untuk taat kepada Tuhan dan lakukan apa yang anda tahu diingini Tuhan dalam hidup anda. Ketaatan anda yang sungguh-sungguh membuktikan kesetiaan dan kasih anda untuk Allah. Satu lagi hal yang mesti dilakukan ialah mendampingi Allah dan taat kepada-Nya. Luangkan masa untuk merenung Firman Allah, berbual dengan Allah dalam doa dan memuji Dia dengan lagu-lagu penyembahan dan pujian.
Yakobus juga menyeru kita untuk bertaubat dengan menyesali, menangis dan meratap. Dalam ayat 9, dia mengatakan,
“ Biarlah ketawamu menjadi tangisan, keriangmu menjadi kesedihan.
Satu hal yang perlu dikesali ialah amalan fitnah-memfitnah. Banyak kali apabila kita tidak dapat memiliki sekali, mudah sekali untuk kita menghakimi mereka yang memilikinya. Kita mesti bertaubat daripada dosa ini kerana Yakobus menerangkan bahwa setiap kali kita menghakimi seseorang kita mengambil alih fungsi Allah satu-satunya Pemberi hukum dan Hakim. Jadi siapakah kita untuk menghakimi sesama manusia? Jika sebelum ini, anda menghakimi dan memfitnah orang lain kerana tidak berjaya miliki apa yang dimiliki mereka, bertaubatlah.
Doa
Lagu Rohani
Tuhan Tolong Ingatkan Aku
by Pdt. Dr. Erastus Sabdono
0 Comments on "Apakah Punca Pergaduhan Dan Pertengkaran?"