Cinta Kasih
Pembacaan Alkitab Dramatis
1 Korintus 13:1-13
Ayat Kunci
1 Korintus 13:8
“Kasih tidak akan luput…”
Ulasan
Kebanyakan orang yang sudah kahwin apabila ditanya mengapa mereka kahwin dengan
pasangan mereka akan memberi alasan bahawa mereka mengasihi dia. Jika ditanya
selanjutnya mengapa mereka mengasihi pasangannya, mereka akan memberi pelbagai alasan
yang menyenangkan kepada diri mereka sendiri seperti, “Saya rasa dia adalah orang yang
cantik / tampan,” “Dia boleh membantu saya dalam pelayanan,” “Dia boleh menjaga dan
menyokong saya.” Apakah pola yang dapat diperhatikan dalam alasan-alasan ini? Yang ketara
sekali ialah kasih mereka ini adalah berpusat kendiri; iaitu kasih mereka tertumpu kepada apa
yang orang lain boleh berikan kepadanya. Ini tidak salah sekali tetapi kasih yang begini bukan
apa yang dimaksudkan dalam Alkitab, khususnya dalam petikan kita hari ini.
Dengar sekali lagi bagaimana ayat 4-7 menjelaskan kasih Alkitabiah yang bukan berpusat
kepada diri sendiri tetapi kepada orang lain:
4Kasih itu penyabar (terhadap orang lain) dan penyayang (kepada
orang lain). Kasih tidak iri hati (terhadap orang lain), tidak
membanggakan diri (kepada orang lain), dan tidak angkuh (kepada
orang lain). 5Kasih tidak berkelakuan biadab (terhadap orang lain),
tidak memburu kepentingan sendiri (tetapi kepentingan orang lain),
tidak cepat meradang (terhadap orang lain), tidak memperhitungkan
kesalahan orang lain. 6Kasih tidak gembira dengan kejahatan (yang
berlaku pada orang lain), tetapi gembira meraikan kebenaran
(terhadap orang lain). 7Kasih tahan menderita segala-galanya (untuk
orang lain), percaya akan segala-galanya (tentang orang lain),
berharap akan segala-galanya (daripada orang lain), terus-menerus
menanggung segala-galanya (untuk orang lain).
Ini adalah kasih yang murni, yang inginkan apa yang terbaik bagi orang yang dikasihinya.
Tetapi hakikat setiap hari ialah kita memiliki orang-orang dalam kehidupan ini yang kadang-
kadang merumitkan kita mengasihi mereka. Mungkin itu seseorang yang bekerja dengan anda,
mungkin itu anggota keluarga anda, atau bahkan pasangan anda. Perhubungan boleh menjadi
rumit kerana kita semua adalah orang yang berdosa, maka tidak hairanlah bahawa kita kerap
berdosa terhadap Allah dengan melakukan apa yang tidak baik terhadap satu sama lain. Tetapi
selalu ingat ayat 8: kasih tidak akan luput atau tidak berkesudahan.
Firman Tuhan dengan jelas mendefinisikan kasih dalam 1 Korintus 13. Dikatakan bahawa kasih
itu penyabar dan penyayang. Ia tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri,
tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain. Dan yang terpenting, kasih
tidak akan luput. Kebanyakan makanan yang diproses ada tarikh luput. Selepas tarikh luputnya,
makanan itu tidak lagi sesuai untuk dipakai sebagai makanan. Bahkah ia boleh meracuni anda
jika ditelan. Tetapi kasih yang dimaksudkan dalam Alkitab adalah kasih yang tiada tarikh luput.
Kasih ini boleh dipakai bila-bila sahaja dan dalam apa jua keadaan. Pertimbangan kasih yang
Alkitabiah ini juga berbesa kerana ianya mementingkan orang lain dan bukan diri sendiri. Ini
memang berbeza dengan amalan kasih yang biasa dalam dunia ini.
Tambahan lagi, perhatikan bahawa bab tentang kasih ini sama sekali tidak berbicara tentang
perasaan anda. Kasih Tuhan bukan tentang perasaan. Ianya satu pilihan. Anda boleh pilih
untuk bersabar, bahkan saat anda merasa tidak sabar. Anda boleh memilih untuk bersikap baik,
bahkan saat anda merasa tidak seperti bersikap baik.
Tidak peduli situasi apapun yang anda hadapi, anda boleh memilih kasih. Anda tidak pernah
lebih seperti Tuhan daripada semasa anda berjalan dalam kasih. Apabila anda berjalan dalam
kasih, anda tidak akan gagal kerana kasih tidak akan luput. Tidak ada tarikh luput untuk kasih
yang murni sebegini kerana ia selalu sesuai diberikan kepada orang lain yang memerlukannya.
Namun begitu, kasih yang sebegini tidak mungkin datang daripada diri sendiri. Sebagai orang
yang mempunyai tabii yang cenderung terhadap dosa, kita memang tamak dan mementingkan
diri. Oleh sebab itu, kita perlu kasih Allah yang dicurahkan ke dalam hati kita seperti yang
dikatakan dalam Roma 5:5 –
5Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan
kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya
kepada kita.
Kasih Allah yang sebegini kita mesti kecapi sendiri dahulu. Baru kita boleh memberi apa yang
sudah ada dalam hati kita dan yang telah kita betul-betul alami sendiri. Kita tidak boleh memberi
apa yang kita tidak pernah alami kerana kita tidak memahami kasih yang mementingkan pihak
lain. Kalau kita tidak memahami kasih yang memberi begini, tidak mungkin kita memiliki kasih
yang begini dalam hati kita. Jadi, kita tidak boleh memberi apa yang kita tidak miliki. Jadi,
saudara-saudari, bukalah hatimu dan terimalah kasih Tuhan hari ini! Pergi kepada-Nya dan menerima curahan kasih Allah seperti yang ditunjukkan oleh Yesus Kristus yang mengasihi kita
dengan memberi nyawanya bagi kita. Itulah kasih Allah yang tidak akan luput.
Doa untuk hari ini
Lagu Rohani
Kasih ALLAH tak Berkesudahan by Charlie Suhadi
0 Comments on "Cinta Kasih"